2 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengkritik tindakan ahli Parlimen yang mempertikai usaha kerajaan melakukan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ada ahli Parlimen yang mendakwa mereka terdiri daripada golongan B40.
“Islam menganjurkan perubahan dan kemajuan, Islam anjur integriti dan tata kelola yang baik tetapi Islam dibicarakan, apabila kita sebut tata kelola amalan sakau, dia sangsi.
“Ada ahli Parlimen kata kenapa nak perubahan? Apabila (kita buat) penyasaran subsidi dan perubahan sistem pencen, dia kata tak boleh kerana ahli Parlimen ada yang B40. Itu cakap apa? Gaji puluh ribu dengan elaun, masih B40. Dia ini cakap dari benua mana?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan, hari ini.
Menurut Anwar, beliau mencuba sedaya upaya untuk membetulkan kesilapan kerajaan lampau demi kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak katakan saya sudah sempurna, saya juga ada kelemahan tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan memang bukan mudah kerana serangan daripada tauke besar, orang yang dah kumpul kekayaan berbilion itu kuat, dia pengaruhi media sosial, boleh beli ramai orang dalam Facebook atau TikTok.
“Tetapi saya kata tiada makna saya jadi ketua dan pemimpin kalau saya tak sanggup hadapi risiko itu kerana saya nak selamatkan negara daripada amalan curang.
“Saya yakin Malaysia dengan kekuatan Melayu, Cina, India, Dayak semuanya kalau (dalam) semangat kesatuan, hindari api perkauman, agama yang sempit, kita boleh maju,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim