2 APR : Dakwaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyifatkan kebangkitan UMNO Selangor sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan Pusat hanya memberikan gambaran negatif terhadap parti itu.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menyifatkan tindakan Tengku Zafrul mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor di media sosial itu juga keterlaluan.
Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu seharusnya berbincang dengan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebelum membuat pengumuman tersebut.
“Beliau tidak pernah berikan pandangan yang menyokong atau menentang sebarang keputusan diputuskan secara kolektif oleh UMNO Selangor.
“Kalau hendak letak jawatan sekali pun, apakah tidak boleh berunding dengan Pengerusi UMNO Selangor terlebih dahulu? Atau sekurang-kurangnya mewakilkan setiausaha politik beliau untuk berjumpa dan memaklumkan perkara ini secara keluarga serta membuat kenyataan akhbar bersama jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sewajarnya bersama-sama membantu Pengerusi UMNO Selangor bagi mengembalikan kegemilangan parti itu.
“Kita dipilih atau dilantik dalam UMNO Selangor jangan harap dihampar dengan permaidani merah untuk diraikan.
“Sebaliknya kita kena abadikan diri kita untuk sama-sama bekerja membantu Pengerusi UMNO Selangor yang telah sanggup menggalas tanggungjawab dalam keadaan daif dan serba kekurangan dari semua segi,” katanya.
Katanya lagi, segala perbincangan tentang halatuju dan strategi parti diputuskan melalui mesyuarat rasmi terutama dalam membuat keputusan penting melibatkan masa depan parti.
Namun beliau mendakwa kehadiran Tengku Zafrul amat sedikit.
“Tetapi saya menyaksikan dan mengesahkan kurang dari 10 peratus kehadiran Tengku Zafrul bukan sahaja dalam mesyuarat dan perjumpaan, malah di dalam program anjuran UMNO Selangor seolah-olah tidak penting dan bukan prioriti sama sekali.
“Jika kekangan masa dihadapi beliau dijadikan alasan, maka boleh saja berjumpa sendirian dengan Pengerusi (Megat Zulkarnain) mengikut kelapangan masa beliau sekiranya ada sebarang pandangan atau teguran yang hendak diberikan demi kebaikan dan masa depan, tetapi perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa serta merta.
Pengumuman dibuat melalui hantaran di Facebook itu dibuat selepas beliau melihat kebangkitan UMNO Selangor dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.