3 APR : Taikun yang membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Tan Sri Robert Tan Hua Choon didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melibatkan kontrak bernilai RM3.9 bilion.
Namun Pengerusi Spanco Sdn Bhd itu yang lebih dikenali sebagai Robert Tan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya jawatankuasa pembuka peti tender sehingga mendorong Kementerian Kewangan Malaysia menganugerahkan kontrak bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.
Robert Tan, 83 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menipu Kementerian Kewangan Malaysia dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan Malaysia bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.
Ia menerusi dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile‘, dan dia dituduh secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleeť bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.
Sedangkan Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.
Dilaporkan beberapa saksi penting dipanggil untuk dirakam keterangan.
Ini termasuk agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.