5 APR : Sebanyak 2,200 penguat kuasa dan hampir 1,000 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan digerakkan setiap hari di seluruh negara untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan semasa musim perayaan Aidilfitri.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata pemantauan itu tidak hanya melibatkan 22 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) yang bermula hari ini hingga 19 April, tetapi juga turut meliputi barangan lain di seluruh negara.
“Kita pantau semua…setiap hari kita melakukan pemantauan kira-kira 40 barangan di lebih 1,000 premis di seluruh negara. Ada empat kategori pemantauan iaitu satu di pasar raya, satu (lagi) di kedai runcit, pasar basah, dan pasar awam serta pasar mini.
“Setiap hari, akan ada laporan dan data seluruh negara itu akan dimasukkan ke dalam (aplikasi) PriceCatcher. Jadi, kita akan memastikan bekalan itu bukan sahaja mencukupi tetapi juga harga barangan keperluan dikawal,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikan selepas mengadakan lawatan bersempena dengan pelaksanaan hari pertama SHMMP Musim Perayaan Hari Raya 2024 di pasar raya LYC Sdn Bhd (Kemunting).
Beliau berkata, pelaksanaan skim SHMMP itu penting bagi melindungi pembeli daripada ditindas peniaga tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan memandangkan permintaan tinggi untuk meraikan Aidilfitri.
“Dalam pasaran ekonomi terbuka, penawaran berpandukan kepada permintaan dan apabila permintaan itu tinggi, kita bimbang ada peniaga yang mengambil kesempatan dan kerana itu, penting skim berkenaan dilaksanakan supaya peniaga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Skim berkenaan yang akan dilaksanakan selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan akan mengawal barangan termasuk daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol, dan ikan demuduk.
Barangan lain termasuk tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji, dan kelapa parut.