6 APR : Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan diteliti bagi memastikan ia mengikut fasal yang tepat sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu diteliti supaya undang-undang berkaitan Islam tidak dipandang sambil lewa dan lemah hingga membuka peluang Islam iti dihina.
Katanya, kerajaan akan berbincang dengan semua mufti, ulama dan sangar-sangar Islam dalam negara dan luar negara bagi memantapkan undang-undang tersebut.
“Kalau undang-undang ini dibuat sambil lewa, undang-undang lemah, orang akan hina Islam dan undang-undang Islam kerana salah dan gopohnya pemimpin-pemimpin Islam.
“Di Malaysia, draf pindaan akta perlu diluluskan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
“Majlis Raja-Raja kemudian akan bincang teliti, bawa balik dengan draf perundangan, bawa kepada peguam negara dan patah balik ke Majlis Raja-Raja Melayu (untuk diperkenankan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Pusat Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, malam tadi.
Anwar turut membidas kerajaan sebelum ini yang tidak melakukan cadangan pindaan Akta 355 itu dengan cara yang betul.
“Belum dilakukan (proses draf pindaan akta diluluskan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu) yang mana Majlis Raja-Raja Melayu belum pun teliti draf undang-undang itu (sebelum ini), jadi jangan temberang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, laporan RUU 355 akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen, yahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata sesi libat urus dikendalikan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah berada di peringkat akhir.