6 APR : Tentera Israel mengakui beberapa siri ‘kesilapan besar’ berlaku hingga meragut nyawa tujuh pekerja bantuan di Gaza.
Tujuh pekerja badan amal World Central Kitchen (WCK) terbunuh dalam serangan Isnin lalu itu membabitkan seorang warga Australia, tiga warga Britain, seorang warga AS/Kanada, seorang Palestin dan seorang warga Poland.
WCK yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menuntut suruhanjaya bebas menyiasat pembunuhan tersebut.
Menurut laporan AFP, pendirian Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel bertambah tegas berikutan pembunuhan itu.
Israel mendakwa, siasatan dalaman mendapati pasukan dron membuat ‘salah penilaian operasi berdasarkan keadaan’, selepas melihat seorang lelaki bersenjata Hamas yang disyaki menembak dari atas trak bantuan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata adalah ‘sangat penting bagi Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi itu’.
“Jika kita tidak melihat perubahan yang perlu kita lihat, akan ada perubahan dalam dasar kita sendiri (terhadap Israel),” katanya.
Sekutu AS juga mendesak Presiden, Joe Biden menggunakan strategi menyekat berbilion dolar bantuan ketenteraan yang disalurkan kepada Israel bagi memastikannya akur kepada gesaan global.
Sementara Britain menggesa ‘siasatan bebas sepenuhnya’ selepas tiga rakyatnya terbunuh dalam serangan dron itu.
Poland yang seorang warganya terkorban juga menuntut ‘siasatan jenayah’ dilakukan Israel.
Terdahulu Israel mengumumkan akan membuka laluan baharu bagi membenarkan penghantaran bantuan ‘sementara’ ke utara Gaza yang diancam kebuluran selepas mendapat tekanan antarabangsa susulan kejadian itu.
Ia dilakukan beberapa jam selepas Washington memberi amaran mungkin terpaksa mengubah dasar luarnya berhubung perang Israel-Palestin.