9 APR : Usaha terselaras yang dilaksana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus yang lebih meluas dengan syarikat korporat dan perniagaan di Malaysia mengukuhkan ringgit, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) BNM pada Isnin menyatakan sejak 26 Februari, ringgit merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh berbanding dolar AS, iaitu meningkat sebanyak 0.6 peratus.
Mata wang won Korea Selatan, baht Thailand, rupiah Indonesia, yuan China dan dolar Singapura masing-masing susut 1.6 peratus, 1.5 peratus, 1.4 peratus, 0.5 peratus dan 0.3 peratus, kata BNM dalam kenyataan pada Isnin, lapor Bernama.
Pada tempoh sama, purata jumlah pertukaran asing (FX) harian adalah sebanyak AS$17.6 bilion berbanding dengan AS$15.5 bilion pada 2023, menurut bank pusat itu.