12 APR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berharap lebih banyak syarikat China akan melabur di Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Seri Paduka Baginda apabila berkenan menerima menghadap Duta Besar China di Malaysia, Ouyang Yujing, hari ini, yang turut disertai oleh Presiden FAW Hongqi Global, Wang Lingyu dan tokoh perniagaan Tan Sri Lim Kok Thay dan Datuk Lim Chee Wah.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda itu membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.
“Dalam sesi menghadap ini, seri paduka turut berkenan memberikan pandangan mengenai hala tuju hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan keperluan untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang lebih luas,” menurut hantaran yang dikongsikan melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, lapor Bernama.
Menerusi hantaran itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa China adalah salah satu kuasa ekonomi dunia yang penting dan rakan dagang yang besar kepada Malaysia.
Justeru, Seri Paduka Baginda berharap Malaysia menggunakan keupayaan uniknya untuk memanfaatkan dan meningkatkan jumlah dagangan, pertukaran teknologi serta turut mengembangkan eksport ke China.
Dalam pertemuan yang sama, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China dan Sultan Ibrahim merupakan pemilik pertama di dunia.
Kereta keluaran FAW Group yang menampilkan rekaan gaya retro itu digunakan oleh pemimpin tertinggi China bagi acara kenegaraan serta diplomatik.
*Facebook : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar