13 APR : Tiada rakyat Malaysia dilapor terbabit dalam nahas kereta kabel di Antalya, Turkiye pada Jumaat, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul memantau rapi nahas kereta kabel itu yang mengakibatkan seorang terkorban, 10 orang cedera dan lebih 100 orang terperangkap di sepanjang talian kereta kabel itu.
“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya, lapor Bernama.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara di alamat Koza Sokak No. 56, Gaziosmanpasa Cankaya, Ankara, atau di talian 00 (90-312) 44635 47 / 48 00 (90 – 5078128406) (telefon bimbit) atau e-mel: mwankara@kln.gov.my.
Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Istanbul di alamat Esentepe Mah. Ali Kaya Sok. No: 1/1B, Polat Plaza, B Blok, Kat 8, Levent/Sisli, Istanbul atau melalui talian 00 (90-212) 989 10 01 atau e-mel: mwistanbul@kln.gov.my.