13 APR : Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim tampil menjelaskan soal tahap kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegasnya, penjelasan itu perlu dibuat susulan wujud fitnah daripada pihak tertentu yang cuba mencipta persepsi mengenai tahap kesihatan Menteri Kewangan itu.
“Saya mengesahkan keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik daripada sebahagian kita meski diasak dengan jadual yang terlalu padat.
“Untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan.
“Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf dan yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ kerjanya juga kadang-kadang tertinggal.
“Beliau tidak berganjak daripada tekadnya untuk merubah negara dan perubahan adalah proses yang mesti ditelan meski memakan masa dan menerima kecaman,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.
Sebelum ini, ada pihak tertentu yang mempersoal tahap kesihatan Anwar.
Menurut Muhammad Kamil, dakwaan pihak yang disifatkan terdesak itu bertujuan untuk ‘membasuh’ minda masyarakat bagi memberi persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan Madani.
Katanya, kesucian bulan Ramadan yang baharu berakhir dan kini disusuli sambutan Aidilfitri tidak memberi sebarang keinsafan terhadap kumpulan pemfitnah.
“Pesanan daripada saya yang kerdil ini kepada beberapa individu yang menjadikan fitnah sebagai kegiatan harian, tinggalkan amalan membadutkan diri dan merosakkan fikrah masyarakat kerana Islam itu rahmah dan menolak fitnah,” katanya.
Beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit.