13 APR : Insiden tiang penyokong kereta kabel yang tumbang di Antalya, Turkiye meragut sekurang-kurangnya satu nyawa, setakat ini.
Memetik laporan Agensi, tujuh lagi cedera dan hampir 200 yang lain terkandas dalam kabin di udara dalam kejadian itu.
Datuk Bandar Antalya, Muhittin Böcek berkata usaha penyelamatan sedang dijalankan bagi menyelamatkan 184 orang yang terperangkap dalam kereta kabel itu.
“Pada masa ini terdapat 184 rakyat kita di dalam 25 kabin. Insya-Allah, kita akan selamat menyelamatkan mereka,” katanya.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, kematian dan kecederaan berlaku apabila salah satu kabin dalam sistem kereta kabel di Sarisu-Tunektepe terjunam ke dalam kawasan berbatu ketika tiang itu runtuh.
Katanya, operasi menyelamat membabitkan lebih 160 responden temasuk kru udara dari Pengawal Pantai dan pasukan pendaki gunung dari pelbagai wilayah di Turkiye.
Mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan manakala 24 kereta kabel lain masih tergantung, kata pejabat gabenor.
Menurut pejabat itu lagi, unit penyelamat kecemasan memindahkan 40 orang dari tujuh kereta kabel dan usaha diteruskan untuk memindahkan 134 orang lagi yang terkandas di kabin lain.
Imej di media Turkiye menunjukkan kereta kabel terbabit tergantung pada kabel yang tercabut di kawasan gunung berbatu.
Foto: AFP