19 APR : Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Zaidi Johari dilaporkan meninggal dunia di Hospital Melaka, pagi tadi.
Zaidi, 54 menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan akibat serangan jantung kira-kira jam 8.15 pagi.
Pejabat SUK Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham mengalami serangan jantung sewaktu berada di kediaman rasmi beliau di Bukit Peringgit, pagi tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Azim untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tebong, Alor Gajah selepas solat Jumaat untuk dikebumikan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya menzahir ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
“Saya berasa amat dukacita atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang beriman dan bertaqwa.
“Dititipkan juga iringan doa semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang serta dipermudahkan segala urusan.
“Bagi saya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada perkhidmatan awam khususnya Negeri Melaka,” katanya.
Zaidi merancang untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya, tengah hari, esok.