22 APR : Ahli UMNO diseru agar tidak bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah susulan pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fokus dan tekad parti ketika ini bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan yang bakal bertanding dalam pilihan raya itu.
“Ini bagi memastikan aspirasi Malaysia Madani dapat terus diperhebat dan kerjasama yang terbina ini terus berkekalan.
“Adat berkawan biarlah ada keikhlasan. Adat bekerjasama biarlah ada kesungguhan.
“Hargai nikmat berkerajaan yang ALLAH SWT berikan dan jangan leka berebut ghanimah sehingga kita lupa agenda utama adalah untuk memastikan kestabilan agar negara makin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini manakala pada 27 April ini sebagai hari penamaan calon.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga menghadiri perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama di Kuala Kubu Baharu sebaik sahaja pulang dari Sabah.
“Saya amat teruja melihat semangat dan komitmen pimpinan bahagian dan ahli di akar umbi untuk memastikan persidangan cawangan-cawangan kali ini dijadikan medan untuk memperkukuhkan perpaduan dan memperkasa kesatuan dalaman parti.
“Tahniah dan syabas kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan saf kepimpinannya atas jemputan dan mengadakan majlis yang penuh meriah,” katanya lagi.