23 APR : Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk menyokong mana-mana calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), bulan depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata calon itu dipilih berdasarkan persefahaman bersama parti dalam kerajaan dan parti komponen.
Katanya, PRK KKB akan memberi satu dimensi baharu terutamanya dalam konteks politik kesederhanaan dan kestabilan negara.
“Politik kesederhanaan ini penting untuk menjamin kelangsungan dan usaha Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan negara, mengamalkan prinsip sederhana dan kepentingan semua masyarakat majmuk di Malaysia.
“BN akan menyusun gerak kerja dilaksanakan dengan baik di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan agar memastikan pengundi menunaikan hak mengundi, sekali gus memberi kemenangan buat calon Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini manakala pada 27 April ini sebagai hari penamaan calon.