23 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pagi ini.
Katanya, tragedi tersebut memberi kesan mendalam kepada mangsa selain satu kehilangan besar buat negara.
Menurutnya, siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM bagi mengesan punca sebenar nahas.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
“Negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Sekitar jam 9 pagi tadi, dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas selepas bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika sesi latihan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM dan pesawat Fennec.