24 APR : Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Toa dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Pengumuman dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada majlis yang diadakan di Taman Gamelan, Kuala Kubu Bharu, malam ini.
Menurut Loke, Sock Toa yang berusia 31 tahun itu disenarai pendek daripada beberapa orang calon wanita.
Sock Toa sebelum ini bertugas sebagai penyampai berita untuk Ubah TV, saluran video milik DAP.
Media sebelum ini melaporkan pegawai Nga Kor Ming itu sebagai calon yang disebut-sebut bagi mempertahankan kerusi DAP itu.
Ketika berucap, Sock Tao berikrar meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Kuala Kubu Bharu.
Katanya, mendiang merupakan mentor kepada ramai golongan muda dalam DAP selain mengetengahkan prinsip membina negara lebih maju, demokratik dan saksama kepada semua pihak.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58 pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.
Terdahulu, majlis turut bertafakur selama seminit bagi memperingati 10 mangsa nahas helikopter di Lumut.