26 APR : Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 (TT 2023) bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan daripada 30 April ini kepada 15 Mei depan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini, berkata ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan /berkepakaran /bukan warganegara memegang jawatan utama) dan Individu Bukan Pemastautin.
Selain itu pelanjutan turut melibatkan Individu Bukan Pemastautin (pekerja berpengetahuan), Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.
“Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 bagi kategori Majikan Syarikat/ Syarikat Labuan dan Majikan BUKAN Syarikat /Syarikat Labuan dilanjutkan daripada 31 Mac kepada 30 Mei depan,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
LHDN seterusnya menyarankan pembayar cukai untuk melapor pendapatan dengan mengemukakan e-Borang dan membuat pembayaran (sekiranya ada) dalam tempoh yang ditetapkan, bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai.
Pembayar cukai juga perlu mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai sekiranya ada.