Tidak patut undang pensyarah kualiti rendah
26 APR : Insitutsi pendidikan tinggi di negara ini tidak seharusnya mengundang mana-mana pensyarah berkualiti rendah sebagai pensyarah pelawat.
Demikian reaksi ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas soal kenyataan kontroversi pensyarah warganegara Amerika Syarikat yang mencetus kontroversi ketika berucap di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
“Mediocre scholar (sarjana tidak mempunyai pencapaian luar biasa atau istimewa dalam bidang akedemiknya) tidak sepatutnya dibawa sebagai profesor jemputan dari awal lagi.
“Selebihnya telah dijawab oleh Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Upacara Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan MAB Academy di MAB Academy di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Pada 9 April lalu, Institut Pengajian Cina UM mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar yang bertajuk ‘Reassessing Republican China’ yang menampilkan Gilley pada 25 April 2024.
Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) di mana Gilley dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April lalu.
Pada hari kedua iaitu 23 April, ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Will Malaysia Become an Active Middle Power?’, Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi “a country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States,” ketika memberi syarahan.
Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X peribadinya, yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.
Susulan itu, KPT mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial, dibatalkan segera.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada UM berkait insiden itu.
Semalam, UM tampil memohon maaf sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat Gilley.
Hari ini, Zambry mengingatkan semua institusi pendidikan di negara ini agar memeriksa latar belakang mana-mana pensyarah dari luar negara sebelum menjemput mereka.
Katanya, individu yang kontroversi seperti Gilley hanya akan memberi kesan negatif dan memburukkan imej negara.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim