27 APR : Keserasian sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan bagi menjamin kestabilan politik di negara ini yang sekali gus menjana ekonomi ke arah lebih baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbezaan pandangan dalam kalangan rakan Kerajaan Perpaduan bukan halangan kerana mereka berpegang kepada tujuan yang sama.
“Kita terbuka. UMNO sendiri amat menyantuni rakan-rakan dalam parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan…Biar pun kita berbeza parti politik namun mempunyai tujuan yang sama.
“Pada hemat saya, 152 ahli-ahli Parlimen yang ada sekarang ini lebih daripada dua pertiga majoriti mesti dipertahankan. Kaedah dan pendekatan mempertahankannya (ada) pelbagai.
“Setiap pemimpin yang terdiri daripada 18 parti ini mesti terus jalin adunan keserasian dalam kalangan kami dan insya-Allah kita akan sokong demi kestabilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Syawal bersama YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak menjadi medan parti dalam Kerajaan Perpaduan menterjemahkan penyatuan hati dan fikiran mereka.
“Apa yang penting kita mesti mempertahankan kestabilan politik di negara kita.
“PRU16 adalah satu pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan parti-parti dapat dipertahankan ,” katanya.
Menyentuh soal ekonomi negara, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak soal kepentingan menjaganya dengan baik.
“Ekonomi mesti dijaga dengan baik untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Bukan sekadar peluang pekerjaan dengan gaji minimum tapi peluang pekerjaan dengan gaji premium.
“Saya harap dengan keadaan ekonomi yang baik, sektor swasta juga akan melakukan perkara yang sama (naikkan gaji), membuka peluang-peluang baharu yang akan diwujudkan dengan adanya pelabur-pelabur asing,” katanya.
OLEH: NUR EISYA