30 APR : Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menafikan laporan beliU direman selepas memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan di Facebook rasminya.
“Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. InsyaAllah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Menteri Besar Perikatan Nasional itu ditahan SPRM dipercayai susulan siasatan terhadap anaknya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah merekod keterangan Mohd Shukri, hari ini.
Mohd Shukri difahamkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM jam 9.50 pagi untuk memberi keterangan.
Sebelum ini, anak lelaki Mohd Shukri disiasat berkaitan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000 sebelum ini.
Rabu lalu, media melaporkan anak Mohd Shukri antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Keseluruhan projek melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.