30 APR : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilantik sebagai Pengerusi baharu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Mac 2024 hingga 8 Mac 2026.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 bagi menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.
“Walaupun terdapat titah gesaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja agar baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, baginda bertegas untuk mengundur diri supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain.
“(Sultan Selangor) menghujahkan bahawa tugas serta amanah besar itu dipertanggungkan secara bergilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab baginda untuk tidak berkenan dilantik semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, Syed Danial berkata, Sultan Nazrin menyambut keputusan Raja-Raja untuk meneruskan khidmat bakti cemerlang Sultan Selangor, dengan harapan akan mendapat nasihat dan bimbingan berterusan daripada Raja-Raja.
Baginda turut memohon mendapat petunjuk Ilahi untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Pengerusi MKI.
Pada 7 Mac lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan hasrat tidak menyambung tugas sebagai Pengerusi MKI selepas tempoh perkhidmatan baginda tamat pada 9 Mac, dan menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi serta aspirasi MKI akan dapat diteruskan pelaksanaannya dengan lebih baik.
Sultan Sharafuddin mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022.
Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja, dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun serta boleh diperbaharui.