1 MEI : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan hanya menunaikan janji meski terlewat selama dua tahun berdasarkan perjanjian kerajaan dengan penjawat awam iaitu skim gaji perlu dikaji setiap 10 tahun.
“Hari ini, 1 Mei adalah Hari Pekerja, PRK itu pula 11 Mei kerana apa juga yang akan dibuat kerajaan akan tetap dipersoalkan oleh pihak tertentu.
“Kelewatan (umum) itu disebabkan perubahan kerajaan sebelum ini dan hari ini perdana menteri membuat keputusan yang mengejutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di pekarangan Pejabat Parlimen Jelebu, hari ini.
Awal hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus pada Disember ini sempena Hari Pekerja.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kenaikan paling tinggi dalam sejarah itu adalah bukti komitmen kerajaan kepada penjawat awam.
“Biarpun dalam keadaan kedudukan kewangan kurang memuaskan, perdana menteri komited untuk menghargai jasa kakitangan awam seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru semua penjawat awam terus meningkatkan produktiviti dan prestasi perkhidmatan.
Namun beliau yakin penjawat awam tiada masalah untuk meningkatkan prestasi dalam bidang masing-masing.