2 MEI : Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan penjelasan daripada firma farmaseutikal AstraZeneca berhubung kesan sampingan vaksin Covid-19 seperti yang dilaporkan media antarabangsa, baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata syarikat itu harus bertanggungjawab dengan mengemukakan penjelasan yang teliti dan telus bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia bagi mengelak berlakunya kebimbangan awam.
“Kita minta wakil AstraZeneca membuat penjelasan yang lebih teliti dan saya mahu telus kepada rakyat dan media. Mereka mesti bertanggungjawab, tiada apa yang hendak kita sembunyikan, begitu juga mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada program saringan kesihatan di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak di Hulu Selangor pada Khamis, lapor Bernama.
Sebelum ini dilaporkan AstraZeneca mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Gergasi farmaseutikal itu dilapor menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
Dr Dzulkefly berkata, KKM akan terus memantau perkara tersebut selain mempunyai garis panduan klinikal untuk merawat individu yang menerima kesan vaksin.
Sementara itu, beliau berkata seorang pakar perubatan kecemasan akan ditempatkan di Hospital Kuala Kubu Baharu (KKB) pada bulan ini sebagai tambahan kepada seorang pakar perubatan dalaman yang telah ditempatkan secara kekal sejak Januari lalu.
Beliau berkata, menerusi langkah itu, penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu berulang alik lebih 45 kilometer ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya akan terus membuat penambahbaikan pada hospital KKB ini dan saya mahu fahamkan ini bukan dilakukan sebab pilihan raya (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu) tetapi ia sudah dirancang,” katanya.