2 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Parlimen akan meluluskan kenaikan lebih 13 peratus gaji penjawat awam yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 Oktober ini.
Beliau berkata, semua pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Madani termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga memberi sokongan penuh terhadap kenaikan itu supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Disember ini.
“Penjawat awam umumnya sambut baik (kenaikan) tetapi kita tak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar, ada (yang) kata ini pengumuman untuk laksana 1 Disember, mana tahu kalau Parlimen tak luluskan.
“Saya nak tanya siapa ahli Parlimen yang nak bantah kenaikan ini? Kalau ada, kita humban dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Khamis.
Anwar berkata, pengumuman berkaitan kenaikan gaji itu telah diumumkan semalam dengan perinciannya akan dibincangkan pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) nanti, dan pengumuman penuh akan dibuat semasa sewaktu pembentangan Belanjawan 2025.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta menyantuni penjawat awam di setiap negeri untuk berbincang sekiranya perlu dilakukan penyesuaian.
Anwar turut menyelar kenyataan segelintir pihak yang menentang kenaikan gaji tanpa memikirkan tugasan serta dedikasi penjawat awam semakin bertambah.
“Setelah lebih 12 tahun tidak diberikan pertimbangan, kita luluskan. Itu satu kritikan, saya nak beritahu…mereka dengar betul-betul. Gaji dia nak naik, (tetapi) orang bercakap hebat itu menentang kenaikan ini, gaji dia jauh lebih tinggi. Dia minta orang lain kerja bertungkus lumus dengan gaji yang rendah, (tapi) dia nak gaji tinggi. Ini pun pandangan yang haprak dan tidak boleh diterima.
“Nak kritik boleh tapi sabar dulu. Jangan sombong dan angkuh. Jangan dengki kerana bila ada pengumuman baik, orang sambut baik – dia mesti cuba berhujah untuk mencemuh,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman kenaikan gaji tiada kena mengena dengaAn Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu kerana keputusan itu dibuat awal tahun sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal pada 21 Mac lepas.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim