3 MEI : Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2024, berbanding 3.7 peratus tahun lalu, berikutan prestasi pembuatan yang lebih baik pada April.
Data pelarasan musim yang dikeluarkan S&P Global semalam menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) meningkat kepada 49.0 mata pada April daripada 48.4 mata pada Mac, menyaksikan pertumbuhan KDNK pada kadar yang lebih baik.
“Peningkatan itu disebabkan oleh permintaan luar yang meningkat dengan ketara, menandakan pemulihan pertama dalam tempoh 12 bulan,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota, hari ini, lapor Bernama.
Secara keseluruhannya, Kenanga Investment Bank mengekalkan unjuran KDNK bagi suku pertama 2024 tidak berubah pada 3.3 peratus berbanding tiga peratus pada suku keempat 2023, berbanding anggaran pendahuluan Jabatan Perangkaan (DOSM) sebanyak 3.9 peratus.
“Pertumbuhan dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 berikutan kesan asas yang lebih rendah yang direkodkan tahun lalu,” katanya.
Data PMI yang melebihi 50 mata menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan, manakala di bawah 50 mata menandakan penguncupan dalam sektor.
Sementara itu, unit penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, MIDF Research mengekalkan unjuran eksport barangan Malaysia memulih semula sebanyak 5.2 peratus pada 2024 daripada penguncupan lapan peratus pada 2023 berikutan data pembuatan yang lebih baik pada April.
“Melihat ke hadapan, kami meramalkan peningkatan aktiviti perdagangan global yang lebih baik apabila ekonomi serantau mencatatkan angka PMI pembuatan yang bertambah baik.
“Sebagai contoh, China mencatatkan 51.4 mata berbanding 51.1 mata pada Mac 2024, Filipina 52.2 mata berbanding 50.9 mata pada Mac 2024, Vietnam 50.3 mata berbanding 49.3 mata pada Mac 2024 dan Jepun 49.24 mata,” katanya dalam nota berasingan.