3 MEI : Tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan selepas disyaki terlibat dalam pemerasan membabitkan RM1.25 juta terhadap individu yang disiasat berkait kes mata wang kripto.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan dan Inspektor itu ditahan di sekitar Jalan Tun Razak.
Ketiga-tiga mereka berusia antara 38 hingga 50 tahun bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
Menurut Razarudin, berdasarkan hasil siasatan awal, kesemua suspek menafikan pembabitan mereka.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya lagi, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat esok.
Dalam pada itu, Razarudin meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“PDRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.
Tegasnya, PDRM giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukit secukupnya bagi memastikan kesemua yang terbabit dapat diheret ke muka pengadilan.