6 MEI : Pemain kebangsaan, Faisal Halim dilaporkan disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara, pada Ahad.
Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan pada beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.
Gambar kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Selangor FC (SFC) dalam satu kenyataan memaklumkna perkara itu.
“Dukacita dimaklumkan pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid, petang tadi (semalam).
“SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sesiapa yang terlibat.
“SFC menyeru penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata persatuan itu.
Kejadian itu hanya selang beberapa hari selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun di Terengganu hingga cedera.
Akhyar yang baru keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota pada bahagian kepala dan badan oleh suspek tidak dikenali sebelum dompet dan telefon pintarnya dirampas.
Pemain Harimau Malaya kemudiannya dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam satu kenyataan, malam tadi mengecam insiden yang menimpa pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid sehingga mendatangkan kecederaan kepada mereka.
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat segera kedua-dua kejadian itu.
“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.
“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan itu.