Penjawat awam bermasalah dikenal pasti, tidak layak naik gaji
6 MEI : Mana-mana pegawai dan kakitangan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam akan dikenal pasti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penjawat awam yang malas, cuai dan tidak hadir bekerja tidak layak menerima kenaikan gaji.
“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tak hadir.
“Begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil rasuah, tidak datang kerja dan pelbagai masalah.
“Kita tidak akan beri layanan yang sama, jadi sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri jabatan, kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Anwar berkata kerajaan bakal memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja serta kecekapan penjawat awam bagi menentukan sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji.
Kaedah itu bagi memastikan kenaikan gaji tidak berlaku secara automatik termasuk bagi penjawat awam bermasalah seperti lazimnya.
Minggu lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sempena sambutan Hari Pekerja yang bakal bermula Disember ini.
Kenaikan gaji lebih 13 peratus itu merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim