7 MEI : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau mahu melihat program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pencetus perubahan kepada sistem pendidikan negara.
Menerusi catatan di laman Facebook, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kursus TVET perlu dijadikan pilihan utama pelajar dan ibu bapa untuk pendidikan di peringkat tertiari.
Pada masa sama, beliau berkata pelajar aliran TVET juga mesti diterapkan dengan ilmu keusahawanan kerana terdapat dalam kalangan mereka yang mempunyai minat untuk menjadi teknousahawan.
Ahmad Zahid yang mempengerusikan mesyuarat bersama Naib Canselor Rangkaian Universiti Teknikal, semalam berkata mesyuarat itu bagi membincangkan isu TVET dan turut menyentuh cadangan penambahbaikan ke arah memperkasakan graduan serta menjamin peluang kerjaya sewajarnya.
“Saya percaya dengan adanya koordinasi oleh semua kementerian, segala permasalahan yang wujud pastinya dapat diselesaikan ke arah memartabatkan TVET sebagai pilihan utama kepada para pelajar,” katanya, lapor Bernama.