8 MEI : Syarikat AstraZeneca dilaporkan menarik balik kesemua vaksin COVID-19 di seluruh dunia.
Memetik laporan Telegraph semalam, permohonan menarik balik vaksin itu di Kesatuan Eropah dibuat pada 5 Mac lalu yang berkuat kuasa semalam, 7 Mei.
Syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden itu menarik balik ‘kebenaran pemasaran’ vaksin tersebut secara sukarela.
Difahamkan, AstraZeneca juga akan membuat permohonan serupa di United Kingdom dan negara lain yang sudah meluluskan vaksin yang dikenali sebagai Vaxzevria bulan depan.
Menurut AstraZeneca penarikan vaksin COVID-19 di seluruh dunia dilakukan susulan lebihan vaksin terkini yang tersedia sejak pandemik itu.
“Memandangkan pelbagai jenis vaksin COVID-19 telah dibangunkan, terdapat lebihan vaksin dikemas kini yang tersedia,” katanya.
AstraZeneca mula beralih ke vaksin virus pernafasan dan ubat obesiti melalui beberapa urus niaga tahun lalu selepas jualan ubat COVID-19 merosot.
Namun laporan itu menyebut, keputusan penarikan balik itu dipercayai dibuat selepas pengakuan dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.
Dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, ia membuat beberapa pengakuan antaranya, ia menyatakan vaksin COVID-19 buatannya ‘boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau ‘Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome’ iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.
Bulan lalu, buat kali pertama AstraZeneca mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin COVID-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).
Gergasi farmaseutikal itu menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.