8 MEI : Mana-mana individu yang melanggar peraturan musim haji 2024 bakal berdepan penalti 10,000 riyal (RM12,641).
Perkara itu diumum Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Peraturan itu termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji iaitu Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.
“Penalti itu akan berkuat kuasa pada 2 hingga 20 Jun depan,” kata kementerian itu, lapor Agensi.
Kata kementerian itu, penalti akan dikenakan terhadap mana-mana individu termasuk rakyat tempatan.
Sementara itu, katanya rakyat asing yang ditahan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki Riyadh untuk tempoh yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.
Menurut kementerian itu, tindakan tegas itu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji dalam melaksanakan Rukun Islam Kelima.