8 MEI : Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim menjadi mangsa serangan terbaharu, malam tadi selepas dua pemain menjadi mangsa sebelum ini.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya memburu dua suspek pecah cermin kereta Safiq yang berlaku di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Jalan Sri Gelam.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek yang terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya.
Safiq menerusi laman Instagramnya berkongsi insiden itu sambil berkongsi salinan laporan polis yang dibuatnya selepas kejadian terbabit.
“Tak sangka saya pula kena serang berdekatan pusat latihan JDT. Zaman kena berjaga-jaga,” katanya.
Menerusi laporan polis yagn dikongsinya, Safiq memaklumkan dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal telah mengetuk cermin belakang hingga pecah dan menunjukkan tukul besi tersebut kepadanya.
Sebelum in, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang disamun di hadapan kediamannya di Kuala Terengganu manakala pemain Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid hingga mengalami lecur tahap empat.