9 MEI : Thailand di bawah pentadbiran Srettha Thavisin bakal menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik menjelang akhir tahun.
Keputusan itu dibuat hanya selepas dua tahun Thailand menjadi antara negara pertama di Asia yang membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi.
Perkara itu diputuskan kerajaan meski sektor runcit domestik bagi ganja tumbuh pesat dengan puluhan ribu kedai dan perniagaan muncul di negara itu yang diunjurkan bernilai sehingga RM4.8 bilion menjelang 2025.
Menurut Perdana Menteri Thailand itu, kerajaan mahu Kementerian Kesihatan meminda peraturan dan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik.
Katanya, peraturan baharu itu perlu disegerakan yang hanya membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan kesihatan dan perubatan sahaja.
Di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, ganja dinyah jenayah untuk kegunaan perubatan pada 2018 dan penggunaan rekreasi pada 2022.
Dalam pada itu, Srettha turut berikrar untuk mengambil pendirian tegas terhadap dadah terlarang dan mengarahkan pihak berkuasa untuk menyampaikan keputusan dan menunjukkan kemajuan yang jelas dalam 90 hari akan datang.
Beliau juga meminta pihak berkuasa untuk mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan pemilikan dadah di bawah undang-undang, daripada jumlah kecil kepada satu pil, kepada untuk membolehkan penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.