11 MEI : Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mempertimbang dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu, lapor AFP.
Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.
Deraf resolusi itu menyatakan ‘Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli’.
Meski PBB melalui perhimpunan itu tidak boleh memberi keahlian penuh,namun resolusi itu akan memberi Palestin beberapa hak dan keistimewaan tambahan mulai September 2024,
Palestin turut diberi kerusi dalam kalangan anggota PBB di dewan perhimpunan namun tidak diberi hak mengundi.
Pada masa sama, deraf yang diperkenalkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu secara jelas menolak membenarkan rakyat Palestin dipilih untuk menganggotai UNSC atau mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
Namun, ia membenarkan mereka mengemukakan cadangan dan pindaan secara langsung tanpa perlu melalui negara lain seperti yang berlaku sekarang.
Ia juga memberi mereka hak untuk duduk dalam kalangan negara anggota mengikut susunan abjad.