11 MEI : Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu hari ini melalui calonnya, Pang Sock Tao.
Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi apabila menerima 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Sementara calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) mendapat 152 undi manakala Nyau Ke Xin (Bebas) menerima 188 undi.
Keputusan rasmi diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, malam ini.
Menurutnya, peratusan keluar mengundi bagi PRK kali ini adalah 61.51 peratus.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada PRN lalu, Kee Hiong dengan majoriti 4,119 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.