11 MEI : Sebanyak 12 laporan polis atas pelbagai kesalahan diterima dengan lima kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen PRK Kuala Kubu Baharu yang berakhir hari ini.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pada kempen yang bermula 27 April itu, dua tangkapan dilakukan berdasarkan laporan serta tujuh daripada keseluruhan laporan itu hanya melibatkan tindakan pencegahan oleh polis.
Dua lelaki warga tempatan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4 (A) Akta Pilihan Raya 1954 serta sudah dituduh di mahkamah, manakala untuk empat lagi kertas siasatan yang dibuka, tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata pada PRK yang berakhir dengan jumlah pengundi seramai 39,362 orang itu, sebanyak 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor ditugaskan bagi mengawal keadaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 194 permit kempen dan 81 permit ceramah diluluskan kepada parti dan individu yang bertanding pada PRK berkenaan,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, PRK pada kali ini berjalan dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Polis kontinjen Selangor turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua calon yang bertanding serta barisan penyokong yang telah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), yang diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58 pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pang berjaya mengekalkan penguasaan PH di Kuala Kubu Baharu apabila menang dengan majoriti 3,869 undi selepas mendapat 14,000 undi.
Khairul pula mendapat 10,131 undi manakala Nyau dan Hafizah masing-masing mendapat 188 dan 152 undi.