13 MEI : Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Qatar atas usaha tanpa henti dalam menjadi perantara rundingan damai bagi Hamas dan Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan perkara itu dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani pada Ahad.
Menurut Mohamad, beliau dan Sheikh Mohammed turut berkongsi pandangan mengenai situasi di Timur Tengah khususnya konflik Palestin-Israel.
Katanya lagi, konflik itu memerlukan usaha berterusan.
“Kedua belah pihak menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal dan menekankan kepentingan rundingan yang sedang berlangsung.
“Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi beliau ke Jerman dilihat sebagai titik perubahan pandangan komuniti global terhadap tindakan agresif dan genosid Israel terhadap Palestin.
“Kedua-dua belah pihak menyentuh secara ringkas peranan Malaysia yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) dan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) turut menjadi tumpuan dalam pertemuan itu.
Katanya, jemputan turut dibuat kepada Sheikh Mohammed untuk melawat Malaysia.