14 MEI : Kerajaan menggariskan kepentingan mengelak isu 3R iaitu agama, raja dan kaum dalam draf kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada pembangkang.
Selain itu kerajaan turut menuntut pembangkang untuk memastikan kestabilan demi pemulihan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi tanggungjawab mengendalikan perkara itu berkata perincian draf tersebut sedang dimuktamadkan.
Menurutnya MoU itu akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik dalam kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.
“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen ini melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.
“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R (raja, bangsa, agama) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di Putrajaya, hari ini.
Ketika ditanya soal tempoh draf itu akan lengkap, Fadillah berkata tiada sebarang tempoh ditetapkan.
“Perjanjian ini sedang dimuktamadkan termasuk draf dan sebagainya.
“Tetapi saya tak tahu di peringkat PN sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf (MoU),” katanya.
Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju mengagihkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang namun mahu MoU di antara kedua-dua pihak dirangka terlebih dahulu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan kerajaan bersetuju memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Bagaimanapun katanya, PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.