17 MEI : Kesemua wakil rakyat Bersatu bakal menerima surat yang perlu dibalas dalam tempoh 14 hari bagi mengesahkan sokongan kepada parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jika mana-mana wakil rakyat gagal membalas dalam tempoh diberikan, keahlian terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat akan tergugur.
Menurutnya, surat berkenaan turut diserahkan kepada enam ahli Parlimen (MP) dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MPT sudah serahkan surat kepada semua MP dan ADUN Bersatu, ada beberapa arahan secara bertulis diberikan melalui e-mel, kurier dan serahan tangan.
“Arahan itu antaranya mahu mereka tahu sebagai ahli parti seharusnya bertanggungjawab untuk setia dengan parti serta mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.
“Kita nak mereka tahu bahawa kepimpinan Bersatu tidak sokong atau menyertai kepimpinan di sebelah sana (Anwar). Itu adalah arahan spesifik kepada semua MP dan ADUN Bersatu.
“Namun kepada enam MP (ahli Parlimen) dan ADUN sebelum ini (yang menyokong Anwar), ada arahan tambahan yang diberikan kepada mereka. Apa arahan itu, kena tanya kepada mereka sendiri,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu mengisytihar sokongan kepada Kerajaan MADANI iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pada siding media sama, Hamzah berkata ketetapan turut dibuat bahawa Bersatu tidak menyokong mana-mana menteri besar, ketua menteri mahu pun menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui parti.
“Seterusnya, presiden parti secara jelas menyatakan bahawa Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan secara berintegriti dan bebas rasuah, selaras dengan prinsip kita iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil.
“Arahan juga membabitkan perlembangan negeri yang yang menghalang perbuatan lompat parti dan ia dipermain oleh ahli Parlimen dan ADUN serta mereka bersikap selingkuh dengan menukar atau berikan sokongan kepada parti politik lawan tanpa melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota (parti) politik itu,” katanya.