18 MEI : Dua lelaki ditahan polis selepas cuba memasuki Istana Negara melalui Pintu 3 kira-kira jam 4.40 petang pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis turut merampas sebilah parang.
Katanya, kedua-dua lelaki tempatan itu mendakwa mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Anggota polis telah menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menjumpai sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang berusia 29 dan 37 tahun didapati negatif dadah. Di mana kedua-duanya direman selama empat hari sehingga 21 Mei ini
Keduanya disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.