Helikopter bawa Presiden Iran terhempas
20 MEI : Helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilaporkan terhempas di barat laut Iran pada Ahad, lapor Agensi.
Helikopter itu dilaporkan terhempas ketika pendaratan kecemasan yang dalam perjalanan ke bandar Tabriz selepas merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.
Turut berada di dalam helikopter itu Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian.
Setakat ini masih tiada laporan berkait keadaan kesemua mangsa yang menaiki helikopter itu.
Keadaan cuaca buruk dengan kabus yang tebal ketika ini menyukarkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.
Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi berkata keadaan cuaca yang buruk memaksa helikopter itu membuat pendaratan cemas.
“Presiden dan beberapa orang kenamaan lain dalam perjalanan pulang dan salah satu helikopter terpaksa berdepan ‘pendaratan cemas yang mengejut dan kasar’ gara-gara keadaan cuaca yang buruk khususnya kabus tebal.
“Beberapa pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian namun oleh kerana keadaan cuaca yang buruk, membuatkan mereka memerlukan lebih masa untuk tiba di lokasi helikopter tersebut.
“Kawasan tersebut agak sukar untuk diakses dan sulit juga untuk berhubung. Kita sedang menunggu kumpulan pasukan penyelamat untuk sampai ke lokasi berkenaan seterusnya untuk memberi lebih banyak maklumat,” katanya.
Helikopter itu terhempas berhampiran dengan lombong tembaga Sungun yang terletak antara Jofa dan Varzaqan di wilayah Azerbaijan Timur Iran dan kira-kira antara 70km (43 batu) hingga 100km (62 batu) dari bandar Tabriz, salah satu bandar terbesar di Iran yang juga destinasi mereka.