20 MEI : Malaysia berduka atas tragedi menimpa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan pemimpin negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Raisi sebagai pemimpin yang senang untuk bekerjasama dan pemergiannya merupakan suatu kehilangan dalam perjuangan menegakkan hak Palestin.
“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya.
Beliau turut berkongsi sempat bertemu Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.
“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.
“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” katanya.
Awal hari ini, helikopter membawa Raisi dan beberapa orang kenamaan lain dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan barat laut Iran selepas terpaksa membuat ‘pendaratan kecemasan’ akibat cuaca yang buruk.
Agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News melaporkan perkembangan terkini yang mendakwa Raisi dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian terbunuh bersama kesemua penumpang helikopter itu.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim