20 MEI : Presiden Iran Ebrahim Raisi dilaporkan terbunuh selepas helikopter dinaiki terhempas dan terbakar sepenuhnya.
Perkembangan terbaharu itu dilaporkan agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News.
Sementara itu, menurut Reuters yang memetik seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan helikopter yang hilang itu ditemui terbakar sepenuhnya.
Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan semua penumpang di dalam helikopter itu, termasuk Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian terkorban dalam nahas itu.
Terdahulu, dron milik Turki mengesan satu kawasan mengeluarkan haba di Wilayah Azerbaijan Timur.
Sejurus itu, 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan dikerah ke kawasan terbabit namun berdepan cuaca buruk apabila hujan turun diikuti kabus tebal.
Sebelum ini, helikopter yang membawa Raisi itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Penduduk tempatan dilaporkan mendengar ‘bunyi kuat’ di wilayah berkenaan.
Insiden itu berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.