21 MEI : Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan perbincangan dua hala dengan Bank Dunia dan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE) mengenai cabaran, pengalaman pengurusan dan model kewangan dari pelbagai negara berkaitan isu air.
Perbincangan dengan delegasi Bank Dunia diketuai Pengarah Serantau Sustainable Development Practice Group East Asia and Pacific Anna Wellenstein diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua sempena mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10 yang berakhir hari ini.
Fadillah berkata pertemuan itu bertujuan untuk membolehkan bertukar pengetahuan dan menghasilkan persetujuan untuk perbincangan lanjut yang melibatkan pegawai Malaysia dan Bank Dunia untuk meneroka bentuk kerjasama, seperti bengkel atau nasihat teknikal.
“Dari situ, Malaysia akan menentukan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan, sama ada melalui bengkel atau nasihat teknikal yang diperlukan untuk menjawab cabaran kewangan dalam pengurusan air.
“Pengalaman daripada negara lain dan model bisnes baru yang diperoleh ini diharapkan dapat memberikan idea baharu bagaimana kita boleh membangunkan dan memastikan kelestarian serta kelangsungan bekalan air untuk negara kita dalam semua aspek,” katanya kepada media Malaysia, lapor Bernama.
Menurut Fadillah, perbincangan dengan delegasi UNECE diketuai Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Marco Keiner pula memberi tumpuan kepada pengurusan sungai rentas sempadan yang dikongsi dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Indonesia.
Beliau menekankan keperluan pengurusan bersama bagi memastikan bekalan air bersih dan mitigasi risiko bencana seperti banjir, dengan mengambil contoh kerjasama melibatkan muara Sungai Golok di sempadan Kelantan, Malaysia dan Narathiwat, Thailand.
“Kita juga perlu bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal UNECE kerana sempadan sungai di Malaysia merangkumi beberapa negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, dan Kelantan,” katanya.
Fadillah percaya penyelarasan penjagaan kebersihan sungai, pengurusan banjir dan hakisan, serta bekalan air yang baik memerlukan kerjasama semua negeri yang terlibat.
UNECE adalah suruhanjaya serantau di bawah bidang kuasa Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ia ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan integrasi di kalangan negara anggota terdiri daripada 56 negara anggota di Eropah, serta beberapa di luar Eropah.