22 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat bersama menjadikan setiap perayaan dan budaya sebagai teras atau elemen yang memperkuat kesepaduan dan mempertingkat persefahaman.
Menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak buat seluruh penganut Buddha terutama di Malaysia hari ini, Anwar berkata, antara etika universal yang ditekankan dalam ajaran Buddha adalah menolak ‘ignorance’ (kejahilan/ketidaktahuan).
Justeru, perdana menteri berharap rakyat berusaha meningkatkan kefahaman, merangkul segala kekuatan rakyat dan memberi keutamaan dalam melonjak negara ke depan.
“Semoga perayaan Wesak yang mencerahkan buat kalian, membawa kebahagiaan buat sahabat dan keluarga, selain memperkukuh kerukunan.
“Saya amat yakin negara ini mampu menjadi gagah dengan rakyatnya yang kuat dan berpadu. Sekali lagi, selamat menyambut Hari Wesak buat seluruh penganut Buddha di Malaysia!” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Bernama.
Hari Wesak adalah hari terpenting masyarakat beragama Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama.