23 MEI : Bekas setiausaha politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 pada empat tahun lalu.
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42 mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan meminta untuk dibicarakan.
Sayed Amir membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
“Bismillah, faham, mohon dibicarakan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Sayed Amir didakwa menerima wang rasuah daripada seorang pengarah syarikat sebagai upah bagi mendapatkan tender pembekalan alat baiki untuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri berjumlah RM381 juta di sebuah pejabat Yayasan di Solaria pada 2020.
Dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Menerusi siaran media, SPRM berkata izin untuk mendakwa individu itu bersama seorang lagi pemilik syarikat telah diperoleh lebih awal.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pemilik sebuah syarikat itu ialah seorang anak menteri besar sebuah negeri dan dia akan didakwa Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.
Lelaki itu telah direman SPRM pada 24 April lalu, bersama lima lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkenaan dan kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.
Ia berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana di negeri sejak dua tahun lalu dan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas lapan jam disiasat.