24 MEI : Kerajaan Madani serius dengan usahanya untuk menjayakan reformasi ekonomi setelah sekian lama kitaran ekonomi Malaysia dibiarkan hambar manakala rakyat pula meringkuk dalam perangkap pendapatan pertengahan, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu berkata, dasar kerajaan Madani yang bersifat propembangunan serta menggalakkan inovasi telah memberi nafas baharu kepada ekonomi negara.
“Sambutan menggalakkan daripada pelabur pada detik awal pembaharuan dasar ini membuktikan bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk meraih lebih kekayaan dalam tahun-tahun mendatang,” kata MOF menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) rasminya, pada Jumaat, lapor Bernama.
Kerangka Ekonomi Madani menyasarkan agar ekonomi negara mengembang pada kadar purata 5.5 peratus setiap tahun dalam jangka masa sederhana, didorong oleh pelaburan yang merancakkan ekosistem perniagaan tempatan.
Kerangka tersebut juga menggariskan usaha untuk mengurangkan jurang kekayaan bagi menjamin kesaksamaan dan kestabilan masyarakat.
Menerusi hantaran berkenaan, MOF juga berkongsi statistik prestasi pasaran Malaysia pada bibit awal penggerakan reformasi ekonomi, yang merupakan antara yang terbaik di ASEAN setakat 20 Mei 2024.
Ini termasuklah prestasi indeks saham yang meningkat 11.9 peratus – kedua terbaik dalam kalangan indeks saham negara ASEAN.
MOF berkata, ini merupakan peningkatan prestasi mendadak indeks saham FBM KLCI, berbanding -27 peratus pada 2023.
Selain itu, kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) dalam pelaburan langsung asing (FDI) adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun pada 22.4 peratus, mengatasi Singapura pada 17.7 peratus.
Manakala hasil dividen (syarikat indeks) Malaysia antara empat hingga ke lima peratus adalah yang terbaik di rantau ini selain Singapura.