28 MEI : Israel menyerang beberapa kem perlindungan Palestin di Tal as-Sultan, Jabalia, Nuseirat dan Bandaraya Gaza dan membunuh hampir 200 orang awam dalam tempoh 24 jam lepas.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata dalam tempoh 234 hari konflik ini berlangsung, kira-kira 35,984 warga Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh dan ramai lagi yang cedera.
Wisma Putra berkata serangan rejim Israel tanpa henti, tanpa belas kasihan dan dengan sengaja menyerang rakyat Palestin itu adalah melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Mei 2024 yang menuntut agar serangan tentera di Rafah dihentikan serta-merta.
“Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya.
“Ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman ini akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza. Ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa,” katanya, lapor Bernama.
Oleh itu, Wisma Putra berkata Malaysia menggesa agar masyarakat antarabangsa termasuk negara anggota Konvensyen Genosid, untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan keputusan ICJ, menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.
Ia berkata keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha yang komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, dihormati dan selamat pada masa hadapan.
Sekurang-kurangnya 40 orang awam maut dan yang lain cedera kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat pengeboman Israel keatas khemah-khemah perlindungan mereka yang hilang tempat tinggal di barat laut Bandar Rafah, selatan Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mereka yang berada di dalam khemah ketika pengeboman terbakar hidup-hidup.