29 MEI : Amerika Syarikat (AS) menangguh penghantaran bantuan ke Genting Gaza melalui koridor maritim.
Menurut Pentagon, keputusan itu dibuat susulan cuaca buruk akhir minggu lalu yang menyebabkan jeti terapung dibina Washington musnah.
Timbalan Setiausaha Media Pentagon, Sabrina Singh dilaporkan berkata gelombang kuat dan sistem cuaca Afrika Utara menyebabkan sebahagian platform itu hanyut ke lokasi lain.
“Usaha pembaikan semula jeti itu dijangka mengambil masa lebih seminggu sebelum dibawa semula ke pantai Gaza,” katanya.
Menurut laporan, kerosakan itu berlaku kira-kira dua minggu selepas platform yang bertujuan untuk membawa lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah itu dibuka.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) melaporkan setakat ini kira-kira 1,005 tan metrik bantuan kemanusiaan sudah dihantar melalui koridor maritim berkenaan.
*Foto: Imej satelit Maxar Technologies