29 MEI : Kerajaan mungkin perlu membuat beberapa pindaan undang-undang bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran (Parallel Pathway).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan perkara itu dimaklumkan kepada barisan Kabinet hari ini.
Menurutnya, maklum balas perkara itu diberikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Katanya, Pejabat Peguam Negara ada memberi pandangan dari segi aspek perundangan dan perincian mengenai akta berkaitan akan dibincangkan minggu depan.
“Parallel Pathway merujuk kepada isu yang melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Jemaah menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Terdahulu, isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.
Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Pada 27 Mei lepas Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.
Menurut Zambry, perbincangan dengan Kementerian Kesihatan telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.